Saturday, December 26, 2009

For my luvly fwens out there~Hati-hati

PETIKAN DARI KOSMO.05-12-2008

Paksa ahli beli pangkat - Syarikat MLM beroperasi bagai labu peram untuk kaut untung segera

PUTRAJAYA - Ghairah untuk mengaut keuntungan segera, sebuah syarikat jualan langsung sanggup menawarkan pembelian 'pangkat' kepada ahlinya dengan dijanjikan pendapatan lumayan.

Lebih mengejutkan ialah ahli-ahlinya dari seluruh negara itu dipaksa membeli 'pangkat' mengikut status tertentu dan sering dipersalahkan jika gagal mendapatkannya setiap kali perjumpaan bulanan dilakukan.

Sekiranya ahli berjanji membeli pangkat, tetapi gagal, individu terbabit akan dipaksa membeli pangkat lebih rendah dengan harga yang lebih murah.

Pangkat paling rendah yang ditawarkan berharga RM9,000 dengan dijanjikan pendapatan RM1,000 hingga RM3,000 sebulan.

Ahli juga ditawarkan pangkat dengan status lebih tinggi jika membayar RM150,000 dan kononnya akan memperoleh pendapatan RM20,000 hingga RM50,000 sebulan.

Pangkat paling tinggi boleh dibeli dengan harga RM50 juta dan kononnya mendapat pendapatan tanpa had.

Seorang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ismail mendakwa, beliau mengalami kerugian RM150,000 untuk membeli pangkat dan pada masa yang sama, mendapat stok minyak wangi aromaterapi dan produk kecantikan yang diimport.

"Saya mula mengenali syarikat ini sejak Disember 2007, pada mulanya saya yakin dengan mereka, tetapi lama kelamaan apabila upline saya mula menekankan tentang pembelian pangkat setiap kali ada perjumpaan saya mula tidak sedap hati,'' katanya ketika ditemui di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini semalam.

Beliau yang juga seorang ahli perniagaan bertambah curiga apabila wujud organisasi lain yang menjalankan semua kegiatan pemasaran berbilang tingkat (MLM) dan bukan syarikat yang menjadi pemegang lesen.